Wednesday, July 20, 2011

ILham - Buya Hamka




Janganlah murka kepadanya kalau dia menyatakan yang dirasainya itu. Dia hidup dalam alaminya sendiri. Seniman diadakan Tuhan ialah untuk menyatakan keindahan Tuhan dalam alam, yang anda sendiri pun tahu tetapi tiada upaya menyatakan. Bukan atas kehendaknya seniman itu menggubah, dan mencipta. Tetapi satu waktu tersimbah kelambu keindahan dalam jiwanya, dia terpaksa mengejarnya atau menyediakan potlotnya untuk menangkap perasaannya itu; kalau tidak lekas, perasaan atau ilham itu terbang lagi dan dia ditinggalkannya. Belum tentu bila dia akan datang kembali.


Dunianya tidak dibatasi oleh apa yang dinamai batas. Tatengkeng Nasrani berdekatan dengan Hasymy Islam. Petani Or. Mandang berdekatan dengan Amir Hamzah istana Langkat!


Kalau keindahan itu nampak dan kalau ilham itu datang, Milton tidak dapat ditahan menggubah kata-katanya, Beethoven tidak dapat ditahan mengguriskan not muziknya, Rafael tidak dapat ditahan membuat lukisannya.


Biarkanlah mereka, dan anda terima bersih hasil ciptaan mereka.


Setelah anda baca hasil ilhamnya itu, kalau ternyata dia tersesat; di situlah anda dapat mengerti bahawa dia bukan Nabi. Dan insaflah anda, bahawa anda pun dalam perjalanan hidup ini sebenarnya telah berkali-kali juga sesat. Cubalah tilik diri anda! Bukankah begitu? Cuma ubahnya, kalau dia tersesat dijelaskannya kesesatannya itu dengan gubahan kata, sehingga caranya menyatakan kesesatannya itupun indah sedang anda, tidak berani atau tidak sanggup.


Maka teringatlah saya, akan satu kesesatan yang “indah” dalam sebuah pantun Minangkabau, begini susunnya:


Sejak aku gembala itik,

Ke Bayang aku dakikan,


Tidak aku ke pulau lagi,


Sejak aku cintakan adik,

Sembahyang sudah kuhentikan,


Tidak aku ke surau lagi.






Dipetik dari Kenang-Kenangan Hidup (Buya HAMKA)

0 comments:

Post a Comment